Pelbagai acara diatur sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah

ALOR SETAR – Bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah, Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ke-85 pelbagai acara akan diadakan bermula pada 19 Januari ini sehingga bulan April depan.
Antara acara yang akan diadakan adalah Majlis Bacaan Yasin dan Doa serta majlis kesyukuran di Masjid Zahir pada 19 Januari ini. Majlis tersebut akan dihadiri oleh Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang diketuai oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar AlHaj Ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pengurusan Korporat), Mohamad Rizal Mohd Radzi berkata, pada tarikh 20 Januari diadakan Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran di Balai Penghadapan Anak Bukit.
“Dalam majlis itu,Tan Sri Tunku Annuar akan mewakili Tuanku Sultan Kedah.
“Pada 21 Januari pula, Tuanku Sultan Kedah yang juga Yang di-Pertuan Agong serta Raja Permaisuri Agong akan menghadiri Majlis Jamuan Negeri yang diadakan di Dewan Santapan, Anak Bukit,” terangnya.
Tambah beliau lagi, antara acara lain yang akan diadakan adalah Majlis Perasmian Masjid, lawatan ke Hospital Jitra, Majlis Jamuan Rakyat, jamuan Persatuan Jaksa Pendamai, Temasya Sukan Sungai, Pertandingan Golf Keputeraan dan Majlis Jamuan Jemaah Datuk.


