Kampus induk KUIN bukti kesungguhan bangunkan modal insan

ALOR SETAR – Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah memuji usaha kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak memajukan modal insan bagi melahirkan tenaga manusia berilmu, berkemahiran tinggi dan memiliki sifat ihsan yang bakal menerajui pembangunan ekonomi di masa hadapan.
Baginda bertitah, pembinaan kampus Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang telah siap menjadi bukti betapa kerajaan negeri memberi keutamaan kepada pembangunan insan.
“Beta yakin kemudahan ini bakal menghasilkan pelbagai aktiviti yang boleh memajukan negeri ini.
“Selain itu, pada tahun lalu, kerajaan negeri telah melatih seramai 2,500 pelajar dan belia di bawah Program Bina Insan bagi meningkatkan kefahaman dan memantapkan peribadi serta akhlak mereka seperti mana di dalam ajaran Islam.
“Beta dimaklumkan program ini telah mendapat sambutan luar biasa kerana masyarakat menyedari pentingnya program seperti ini di dalam membentuk peribadi para remaja,” titah baginda.
Baginda bertitah pada Majlis Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah Serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Hari Keputeraan KDYMM Tuanku Sultan Kedah ke 85 di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit.
Titah ucapan baginda dibacakan oleh Tunku Bendahara Kedah (Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah), Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar Al-Haj Ibn Almarhum Sultan Badlishah.
KDYMM Tuanku Sultan Kedah bertitah, kerajaan juga memberi latihan kemahiran dalam bidang jahitan dan masakan kepada wanita bagi membolehkan mereka menceburi bidang ini secara komersial.
“Golongan wanita juga telah diberi pendedahan mengenai hak dan tanggungjawab wanita dari aspek undang-undang melalui siri ceramah dan forum yang dijalankan di seluruh negeri.
“Mulai tahun 2013, kerajaan negeri telah menyusun program latihan dalam bidang elektrikal kepada golongan belia, program-program latihan ini akan dikendalikan oleh Institut Latihan Belia Sejahtera yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri.
“Semoga usaha ini dapat melahirkan lebih ramai pekerja separa mahir di kalangan penduduk tempatan,” titah baginda.


