Elakkan provokasi perkauman
ALOR SETAR – Tunku Bendahara Kedah (Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah), Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar AlHaj Ibni Almarhum Sultan Badlishah mengingatkan supaya tidak ada pihak yang mengambil tindakan provokasi yang boleh menimbulkan perbezaan pendapat dan sentimen perkauman.
Beliau berkata, sebarang kekeliruan yang berlaku hendaklah diselesaikan secara muafakat.
“Saya bersyukur keadaan negeri Kedah yang aman dan kehidupan rakyat pelbagai kaum yang harmoni, ia adalah satu anugerah daripada Allah SWT, oleh itu saya menyeru kepada seluruh rakyat dalam negeri ini agar terus berusaha memelihara keamanan yang kita nikmati agar terus berkekalan.
“Semua pihak harus mengutamakan kepentingan negeri dan berusaha memelihara keamanan sepanjang masa.
“Keadaan negeri yang aman dan selamat merupakan prasyarat utama bagi meningkatkan ekonomi menarik masuk pelaburan,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah Serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Hari Keputeraan KDYMM Tuanku Sultan Kedah ke 85 di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit.
Tambah beliau, pergolakan yang berlaku di negara lain boleh dijadikan teladan di mana kemajuan ekonomi yang dikecapi runtuh apabila terjadinya kekacauan ataupun ketidakstabilan politik.
“Mudah-mudahan dengan berkat Daulat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan, negeri Kedah yang tercinta ini akan terus terpelihara daripada segala malapetaka dan terus berkembang maju di dalam arus kemajuan negara kita di masa akan datang,” ujar beliau.


