Tuanku Sultan puji usaha majukan industri buah-buahan
ALOR SETAR – Usaha kerajaan negeri memajukan industri buah-buahan tempatan mendapat sokongan serta pujian daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah.
Usaha ini bukan sahaja dapat menjadikan Kedah sebagai pengeluar rambutan utama, malah dapat menjana pendapatan kepada rakyat khususnya mereka yang berada di luar bandar.
“Usaha kerajaan negeri untuk terus memajukan industri buah-buahan tempatan adalah sangat murni.
“Sejak beberapa tahun ini beta dapati kerajaan negeri telah melaksanakan program pemulihan dusun rambutan yang sedia ada dan menjalankan kempen penanaman pokok rambutan oleh setiap keluarga.
“Selain, itu, sebuah kilang mengetin rambutan yang dijalankan oleh sebuah anak syarikat milik kerajaan negeri telah beroperasi di Sungai Petani.
“Beta menyeru seluruh rakyat khususnya di luar bandar mengambil langkah ini sebagai satu cara untuk menambahkan pendapatan keluarga serta menjadikan Kedah sebagai pengeluar rambutan yang utama,” titah baginda.
Baginda bertitah pada Majlis Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah Serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Hari Keputeraan KDYMM Tuanku Sultan Kedah ke 85 di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit.
Titah ucapan baginda dibacakan oleh Tunku Bendahara Kedah (Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah), Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar Al-Haj Ibn Almarhum Sultan Badlishah.
Baginda juga sukacita dengan perancangan kerajaan negeri untuk membuka koridor pembangunan baru bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat tempatan.
“Beta percaya Kuala Ketil akan dibangunkan dengan tersusun selepas kampus KUIN dirasmikan, kedudukan Kuala Ketil yang terletak di antara Sungai Petani, Kulim, Baling dan Sik merupakan lokasi yang strategic untuk perkembangan kawasan perbandaran yang baru.
“Kerajaan negeri juga menerima cadangan daripada sebuah syarikat swasta untuk membangunkan Pulau Bunting dengan aktiviti logistik dan industri Maritim.
“InsyaAllah, dengan kerjasama semua pihak kerajaan negeri berkeyakinan dengan perancangan syarikat tersebut yang telah mempunyai rekod yang baik di Malaysia,” titah baginda.


