Get a free hosting or choose from the Best Web Hosting service

Kerajaan perlu bertanggungjawab bela nasib penoreh

BALING: Kerajaan perlu menggerakkan inovasi khusus bagi membantu para pekebun dan penoreh getah mengatasi tekanan pendapatan yang kian mengecil berbanding kenaikan harga barang masa kini.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat berkata, kerajaan mesti melihat situasi tersebut sebagai masalah rakyat yang memerlukan tindakan antaranya pemberian subsidi agar harga lantai getah dapat ditetapkan kepada RM4 sebagaimana dituntut.

“Bayangkan, pada purata pendapatan jualan getah sekerap sebanyak RM2.30 sekilogram, sedangkan harga gula terkini RM2.80 sekilogram. Jadi tekanan kenaikan harga barang tidak selari dengan pendapatan yang kian mengecil.

“Kalau dulu harga getah asli tinggi kerana adanya permintaan. Tetapi apabila industri getah mula menggunakan getah tiruan untuk penghasilan produk, harga getah asli juga jatuh. Saya hendak menjawab, benarlah harga getah ditentukan pasaran dunia, tetapi kerajaan boleh buat sesuatu untuk atasinya.

“Kerajaan kena buat lebih penyelidikan untuk cari pasaran baru, misalnya buat produk baru, barulah harga getah asli naik,” saran beliau.

Ujar Suhaizan, untuk jangka panjang alternatif juga perlu diadakan sebagai pekerjaan untuk golongan pekebun dan penoreh getah.

Antaranya menurut beliau, adalah bantuan kerajaan menerusi Industri Kecil Sederhana (IKS) bagi membantu taraf hidup golongan tersebut.

Katanya, tekanan tersebut bukan sahaja dihadapi warga getah di Kedah, tetapi juga seluruh negara terutamanya di Perak, Negeri Sembilan, Kelantan dan Pahang.

Maklumnya, pertemuan bersama warga pekebun dan penoreh getah di negeri lain sedang diatur.

“Agensi kerajaan yang berkaitan getah ada masalah berdepan saingan getah tiruan. Unsurnya dipengaruhi oleh kualiti baru pasaran produk. Jadi kerajaan kena fikir diluar kotak mencari pasaran baru berasaskan getah asli dengan menghasilkan produk baru diperlukan dunia.

“Negara kita sekarang menghasilkan sarung tangan, benang getah, tiup getah dan tayar. Tetapi (produk ini) telah lama, perlu inovasi dari getah asli. Macam bantuan baja dan sebagainya teruskan,” terang Suhaizan pada Majlis ‘Hi-Tea’ Dan Dialog bersama warga pekebun dan penoreh getah di dalam kebun getah di Kampung Carok Sikin, Kupang, di sini 20 Februari lalu.

Katanya, selagi kerajaan tidak mempedulikan tuntutan golongan berkenaan, usaha bantahan akan diteruskan kerana mereka tiada sumber alternatif, melainkan benar-benar bergantung kepada getah.

Mengimbas sejarah berkaitan pasaran dan perkembangan berkaitan penggunaan getah, Suhaizan yakin kerajaan mampu membantu menaikkan harga getah asli.

Terangnya, apabila negara-negara seperti Jepun menghasilkan produk berasaskan getah, mereka telah mengkaji alternatif untuk mengelak pergantungan kepada getah asli hingga lahirnya getah tiruan.

Oleh itu katanya, apabila getah tiruan muncul, harga getah asli mulai jatuh sedangkan Malaysia banyak mengeksport getah asli.

“Kalau jual dalam bentuk barang jadi mahal misalnya kasut, tayar, sarung tangan dan lain-lain. Jadi tugas kerajaan adakan kajian produk yang boleh dijual. Misalnya, kajian penggunaan getah dalam bahan binaan untuk menangani kesan gempa bumi. Kajian ini dibuat kerajaan. Bila terhasil produk, pasarannya lebih banyak,” usulnya mengemukakan contoh.

Bagi beliau, sebagaimana harga getah pernah berada dikemuncaknya kerana permintaan pasaran, keupayaan sama dapat dilakukan kerajaan dengan meningkatkan permintaannya berasaskan inovasi baru.

Beliau turut mengingatkan kerajaan agar tidak hanya membantu golongan berada yang terus menimbunkan kekayaan, sedangkan rakyat miskin tidak dibantu.

Katanya, sikap kerajaan itu zalim kerana tidak mengimbangi keadaan sedemikian sebagaimana falsafah zakat yang mengambil kamampuan dari golongan berada untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.

“Buka ruang lebih besar menerusi IKS, banyakkan pekerjaan alternatif. IKS boleh jadi perniagaan kecil-kecilan supaya mereka tidak terlalu bergantung kepada getah,” cadangnya.

 

 
Coretan Minda Terkini