Get a free hosting or choose from the Best Web Hosting service

Cara fikir Mukhriz bahayakan Kedah

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah memandang serius laporan kes pembalakan di sepanjang Lebuhraya Trans Eastern Kedah Interland Highway (Tekih) dan penyelesaian luar mahkamah kes saman syarikat Bina Darul Aman Berhad (BDB) dengan sebuah syarikat pembalakan.

Pengarahnya Raja Ahmad Raja Khan mengesahkan menerima laporan dari Ketua Pembangkang DUN Kedah, Dato’ Ir Amiruddin Hamzah dan terus melakukan siasatan. Ia menampakkan perkembangan positif SPRM di Kedah kerana sebelum ini membuat laporan SPRM lebihkurang sama saja dengan mencampakkan dokumen ke dalam tong sampah.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir yang diajukan soalan mengapa mesti melakukan penyelesaian di luar mahkamah dengan membayar RM2.5 juta kepada syarikat pembalakan yang menyaman BDB, beliau berkata, kes tersebut berlarutan sekian lama. Jadi, ia langkah terbaik untuk mempercepatkan prosiding mahkamah dengan menutup kes yang sudah lama dibicarakan di mahkamah.

Boleh lingkop negeri Kedah dapat menteri besar macam Mukhriz. Seorang pemimpin kerajaan sepatutnya fikir kepentingan negeri dan rakyat. Jangan wang rakyat dirugikan sesen pun. Kes yang dibicarakan terang lagi bersuluh memihak kepada BDB. Kelihatannya cuma tunggu masa dari hakim sahaja untuk umumkan keputusan tersebut yang memihak kepada BDB.

Mahkamah pun tidak merungut perihal panjangnya prosiding kes tersebut, tiba-tiba Mukhriz pula yang lebih prihatin dari seorang hakim untuk kononnya meringankan kerja mahkamah. Rakyat tertanya-tanya apa muslihat Mukhriz mengaku kalah di mahkamah?

Cerita kontroversi balak ini bermula apabila pada 6 Jun 2006 BDB mendapat konsesi mengeluarkan balak sepanjang laluan TEKIH dari Kupang ke Durian Burong dgn keluasan 714hektar. Bayaran premium cuma RM535,500 (RM303.52 per ekar) bermula 6 Jun 2006 selama enam bulan.

Berikutnya Pengarah Urusan BDB, Haji Rozhan A. Rahim menawarkan subkontrak keluarkan balak kepada Izdihar Timber dengan syarat Izdihar Timber membayar premium RM535,500 kepada Jabatan Hutan serta membayar Guarantee Deposit RM10,000 bagi setiap lesen dan bayaran pengurusan kepada BDB sebanyak RM300,000.

BDB menerima sebutharga kerja yang sama dari Teguh Adijaya Enterprise dan Mersawa Jaya Enterprise dengan bayaran masing-masing kepada BDB sebanyak RM210,000 dan RM200,000.
BDB kemudiannya menerima sebutharga dari Heng Ghee Timber (HGT) dengan bayaran kepada BDB sebanyak RM300,000, lalu BDB beri surat tawaran kerja kepada HGT.

Betul atau tidak terdapat dakwaan bahawa semua keputusan penawaran ini dibuat tanpa melalui mesyuarat Lembaga Pengarah BDB.

Pada 21 Jun 2006 Izdihar Timber menghantar surat kepada BDB menolak tawaran kerja dan menyatakan mereka tidak akan tuntut apa-apa gantirugi dari BDB. BDB menulis surat kepada Jabatan Hutan memohon konsesi tambahan kerana kawasan pembalakan yang kurang dari yang dianggarkan, yang diserahkan pada HGT iaitu pembalakan hanya 200 hektar berbanding tawaran 714hektar. Jabatan Hutan lalu tawar konsesi tambahan kepada BDB di Hutan Simpan Rimba Teloi dan Hutan Simpan Ulu Muda dengan premium RM75,000. pada 19 Ogos 2007 BDB menawar kerja kepada HGT melalui kontrak kedua dengan syarat HGT membayar premium tanpa menuntut bayaran pengurusan. HGT tidak dapat melaksanakan kerja sehingga kerja menanda pokok selesai oleh Jabatan Hutan.

Ditakdirkan  berlaku peralihan kuasa Kerajaan Negeri Kedah pada 9 Mac 2008. Antara polisi baru yang ditetapkan oleh kerajaan baru ialah proses tender bagi mendapatkan konsesi balak. GLC pula tidak dibenarkan terlibat dalam aktiviti yang bukan ‘core business’nya.
Pada Ogos 2008 pihak HGT berjumpa BDB bertanyakan tentang Kontrak ke-2. Pada ketika itu HGT tidak menebang sebatang pokok pun dan masa yang tinggal hanya 23hari untuk tebangan seluas 150 hektar. HGT dimaklumkan tentang perubahan polisi kerajaan negeri dan BDB akan serah balik konsesi kepada Jabatan Hutan. Jika HGT berminat, terus berurusan dengan Jabatan Hutan.

Pada 18 September 2008 HGT menuntut terhadap BDB, notice of demand kerugian sebanyak RM32,247,887.44 kerana kononnya melanggar perjanjian. BDB menolak. Pada 13 Julai 2009 Heng Ghee Timber saman BDB dan tuntut kerugian kerana melanggar syarat-syarat kontrak pembalakan dalam projek TEKIH dan menyebabkan kerugian dalam Kontrak pertama dan Kontrak kedua.
Pada Disember 2009 perbicaraan di mahkamah pun bermula, berlarutan beberapa kali sehingga berlakulah pertukaran kerajaan. Keputusan mengejutkan pada Disember 2013 apabila BDB mengangkat bendera putih dan bersetuju menyelesaikan kes di luar mahkamah.

Jika HGT berada di pihak yang sangat kuat atau berpeluang untuk menang kes tersebut, mustahil mereka akan bersetuju menerima setakat RM2.5 juta kerana tuntutan mereka adalah RM32 juta. Kecuali mereka sedar sukar untuk memenangi kes. Apatah lagi terdapat fakta yang bercanggah dengan tuntutan terdedah semasa prosiding. HGT yang mendakwa alami kerugian dilaporkan mengaku di mahkamah mencatatkan keuntungan dalam Kontrak pertama sebanyak RM6 juta!

Semua GLC yang kini di bawah tanggungjawab kerajaan BN pernah menerima sentuhan selama sepenggal oleh kerajaan Pakatan Rakyat, justeru BN jangan cuba untuk menyembunyikan apa-apa d

ari rakyat. Ingat, pembangkang di Kedah tidak bercakap kosong kerana ada maklumat.

Untuk sementara, biarkan BDB disiasat oleh SPRM. SPRM juga nampaknya semakin banyak kerja sejak BN tadbir Kedah, walaupun belum sampai setahun.

Kalau berkesempatan wartawan boleh bertanya SPRM sama ada benar atau tidak mereka sedang menyiasat kes ‘penjualan pingat kebesaran’ yang melibatkan beberapa orang penting negeri? Tunggu kalau ada kes yang lebih panas selepas ini.

 

Terakhir Dikemaskini (Sabtu, 01 Mac 2014 13:24)

 
Coretan Minda Terkini