Get a free hosting or choose from the Best Web Hosting service

Pemuda PAS selami penderitaan penoreh getah

KEPERITAN hidup dilalui golongan petani hakikatnya tidak pernah cuba diselami pemerintah negara ini. Sebaliknya kesungguhan dan kecekalan golongan ini diperah semahunya bagi mengaut hasil yang kemudian dieksploitasi untuk kesenangan pihak tertentu. Bahkan nasib golongan petani bagaikan ditinggal melarat apabila musibah alam atau permainan kapitalis menjarah keupayaan mereka, tanpa usaha pemerintah mengekang dan membantu. Namun, golongan ini tetap berdikari demi sesuap nasi dan menyara hidup seadanya.

Menempa kepayahan seumpama semasa kecilnya, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat menjengah nostalgia dengan menyertai rutin harian penoreh getah di Kupang, Baling, 20 Februari baru-baru ini. Seusai subuh lagi beliau menjelajah ke kebun getah di sekitar Kampung Sungai Limau bertemu para penoreh mendengar sendiri rintihan dari lubuk rasa yang tidak pernah diluahkan ke media.

Hening pagi yang dihiasi luruhan daun-daun kering bersama kicauan burung dan bunyi cengkerik serta sepoi-sepoi angin bertiup itu turut mempengaruhi kesayuan Suhaizan mencerap luahan warga marhaen berkenaan. Beliau yang pernah bekerja di ladang kelapa sawit dan getah nyata tidak selesa sekadar mendengar. Bersama bicaranya menuturkan motivasi agar para penoreh bangun memperjuangkan nasib mereka, beliau juga meringankan tangan membantu kerja-kerja menoreh mengimbau detik yang pernah dilaluinya itu. Saat susu getah mengalir dari lurah torehannya, terpancar senyuman di wajah Suhaizan.

Menjelang tegaknya matahari di atas kepala, beliau singgah pula di kedai getah sekerap bertemu peraih dan penoreh melihat keberhasilan dari keringat penoreh yang mendatangkan pulangan tidak seberapa untuk mereka. Namun, dalam serba kekurangan itu, tatkala singgah di Kampung Ibol, beliau dirai penduduk dengan jamuan tengahari istimewa berupa nasi dalam buluh, ikan pekasam, ikan keli bakar, ikan termenung rebus dan gulai ayam hutan serta ulam-ulaman kampung.

Pada petangnya, beliau memilih cara tersendiri mendekati warga penoreh getah. Satu majlis ringkas ‘Hi-Tea’ diadakan di dalam kebun getah di Kampung Carok Sikin. Dalam bicaranya, Suhaizan menegaskan bahawa isu seperti ini ‘sangat dekat’ dengan Pemuda PAS. Beliau menyatakan komitmen untuk mengembleng tenaga Pemuda PAS seluruh negara bagi menggerakkan gesaan agar Kerajaan Persekutuan akur kepada tuntutan penoreh getah supaya harga lantai sekerap getah ditetapkan kepada RM4 sekilogram menerusi penyelerasan subsidi. Selain itu, beberapa alternatif dilontarkan Suhaizan untuk tindakan kerajaan agar nasib golongan ini dibela kerana mereka juga sebenarnya adalah penyumbang kepada negara selama ini.

Beliau juga menyeru seluruh rakyat khususnya warga pekebun dan penoreh getah bangun memperjuangkan nasib mereka serta menyertai himpunan raksaksa di Baling pada 5 April depan sempena Nostalgia 40 Tahun Demonstrasi Baling. Terdahulu Suhaizan dalam kunjungan khasnya ke Kedah menyertai demonstrasi di Pekan Naka, Padang Terap yang menyuarakan tuntutan warga pekebun dan penoreh getah.

 

 

 

 

 

 

 



 
Coretan Minda Terkini