Get a free hosting or choose from the Best Web Hosting service

Himpunan Derita Rakyat di Baling 5 April

Baling adalah tempat bersejarah. Sekurang-kurangnya tiga peristiwa besar berlaku di Baling iaitu Rundingan Baling 1955, Demonstrasi Baling 1974 dan Pembunuhan Beramai-ramai di Memali 1985.

Rundingan Damai Baling merupakan perundingan di antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Parti Komunis Malaya (PKM). Rundingan ini diadakan di Baling English School (sekarang Sekolah Kebangsaan Tunku Putra) di Baling, Kedah Darul Aman, Malaysia pada 28 dan 29 Disember 1955.

Peristiwa Memali berlaku apabila pasukan keselamatan dikerahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Musa Hitam supaya menangkap Ustaz Ibrahim Libya. Ia berlaku pada 19 November 1985. Pihak polis berjaya membunuh 14 penduduk kampung yang tidak berdosa manakala empat anggota polis terbunuh. Berpuluh penduduk kampung tercedera serta kerajaan menahan beratus-ratus yang lain, sebahagiannya di sumbat ke dalam lokap mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Demonstrasi Baling mengambil tempat sebelum dari Peristiwa Memali. Ia berlaku pada tahun 1974 apabila harga getah jatuh menjunam menyebabkan masyarakat penoreh getah menderita. Harga komoditi tersebut mencecah RM0.25 sekati (600 gram).

Latarbelakang masyarakat luarbandar ketika itu memang sedia dimaklumi umumnya hidup di bawah paras kemiskinan. Apabila sumber pendapatan utama pula merosot maka kesannya sangat besar terhadap masyarakat getah. Mereka sama-masa merasa keperitan dan sama-sama melahirkan rungutan yang akhirnya menjadi wabak protes yang berlegar.

Kisah-kisah menyayat perihal kesusahan mereka tersebar dengan pantas meskipun tiada teknologi maklumat seperti zaman ini. Cerita keluarga kebuluran, terpaksa makan ubi kayu untuk meneruskan kehidupan muncul seperti cerita di zaman Jepun. Kemuncak dari semua kisah menyayat itu ialah apabila tersebar berita kononnya terdapat ahli keluarga penoreh getah yang meninggal dunia kerana memakan ubi gadong, sejenis ubi beracun. Keluarga tersebut dikatakan terpaksa berbuat demikian kerana kelaparan lantaran tiada makanan yang mampu dibeli.

Benar atau tidak cerita tersebut tiada siapa dapat mengesahkan, namun ia telah dijaja ke seluruh negara hingga sampai ke menara gading. Kebetulan masyarakat mahasiswa ketika itu berada dalam era kebangkitan di mana mereka sangat sensisitif dengan isu rakyat. Sejak 1971, satu demi satu demonstrasi diledakkan oleh mahasiswa terhadap pelbagai isu semasa. Menteri Pelajaran ketika itu ialah Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Malaysia ialah Tun Abdul Razak Hussein.

Ketika itu sudut pidato dibenarkan dan pemimpin mahasiswa boleh berucap lantang dan lancang mengkritik dasar-dasar yang dikira mengabaikan rakyat miskin seperti di Baling. Tidak cukup berdemonstrasi di ibu negara, mahasiswa turun ke Baling menghimpunkan rakyat yang tertindas, keluar berarak di jalanraya. Pemimpin pelajar yang lantang ketika itu, tidak lain dari Anwar Ibrahim yang sentiasa digeruni pemerintah dahulu dan kini.

Demonstrasi Baling yang berlaku pada 1974 itu tidak dapat dipadam dari catatan sejarah negara. Apa yang berlaku selepas itu adalah pemburuan dan penangkapan terhadap para pemimpin pelajar. Anwar sendiri merengkok dalam Kem Tahanan Kemunting selama 22 bulan, mengikut ISA.

Anwar dalam program memperingati demonstrasi Baling berpendapat, walaupun peristiwa Baling merupakan suatu sejarah terpencil, namun ia mampu membangkitkan suara dan pandangan rakyat bahawa sistem kepimpinan kerajaan pada ketika itu adalah ‘rosak’.

“Jangan kita andaikan kelompok paling miskin itu tidak ikuti perkembangan semasa. Peristiwa Baling harus mengajar bukan sahaja pengalaman sejarah, tetapi mengajar orang bandar bahawa rakyat di desa boleh beri pimpinan,” katanya.

Kesan dari demonstrasi Baling, Kerajaan Umno-BN terpaksa mengambil tindakan proaktif untuk membangunkan masyarakat luar bandar. Meskipun penggerak dan penyokong demonstrasi dicop sebagai anasir subversif atau komunis tetapi tidak dinafikan akibat dari tindakan nekad para ‘subversif dan komunis’ itulah maka rakyat mendapat manfaat.

Keperitan hidup masyarakat pekebun atau penoreh getah kini muncul lagi. Cuma bezanya kali ini masyarakat getah tidak bersendirian dalam mengharung derita. Sebahagian besar rakyat Malaysia sedang dihimpit kesengsaraan akibat tekanan kos hidup yang melampau akibat kegagalan BN sebagai pemerintah mengurus ekonomi rakyat.

Masyarakat getah dilaporkan sekali lagi akan menunjukkan solIdariti di tempat bersejarah Baling untuk menuntut kerajaan menunaikan amanah terhadap rakyat yang terpinggir. Himpunan besar yang dinamakan ‘Himpunan Derita Rakyat: Baling 2.0’ insyaAllah akan jadi kenyataan pada 5 April 2014 nanti.

Jika tiada aral melintang, hero Demonstrasi Baling 1974 Datuk Seri Anwar Ibrahim akan muncul bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Nostalgik jika Anwar muncul semula di Baling atas isu yang sama selepas 40 tahun berlalu.

 

 
Coretan Minda Terkini