Get a free hosting or choose from the Best Web Hosting service

Kelemahan kementerian dalam isu getah

ALOR SETAR: Ketua Penerangan PAS Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan banyak fakta yang menunjukkan kelemahan ketara kementerian berkaitan sedang kekayaan luar biasa diraih agensi dalam komoditi getah negara.

Menurut beliau, sehingga kini kandungan kering getah (DRC) masih ditentukan oleh peraih dan pengilang secara andaian tanpa Lembaga Getah Negara (LGM) yang mempunyai kuasa atasnya untuk menggubal dan menguatkuasakan undang-undang kecil berkaitan menyebabkan harga getah amat terdedah kepada manipulasi.

Bahkan katanya, mesin DRC ciptaan LGM juga tidak digunapakai sedangkan ia diambil dari wang pekebun kecil atas nama Penyelidikan dan Pembangunan.

Lebih malang katanya, agensi-agensi kerajaan yang diwujudkan seperti Risda, Felcra dan Felda tidak membantu ke arah nilai tambah untuk warga penoreh atau pekebun getah, tetapi industri ini masih dikuasai beberapa kilang besar seperti Lee Rubber, Fong Keong Rubber dan Sime Tyre.

Malah maklumnya, agensi pemasaran yang ditubuhkan kerajaan iaitu MERDEC kini dijual kepada tokoh perniagaan, Dato’ Syed Mokhtar al-Bukhary.

“Setiap kilogram getah akan menyumbang Cukai Ses sebanyak 14 sen kepada kerajaan di mana 10 sen disalurkan kepada Risda untuk tanam semula dan 4 sen kepada LGM bagi tujuan penyelidikan.

“Agensi-agensi ini akan menggunakan dana terkumpul ini untuk berniaga semula dengan pekebun kecil melalui kewujudan anak-anak syarikat yang menjalankan aktiviti membekalkan benih, baja, ternakan, pengangkutan, menubuhkan syarikat di sektor pembinaan, lanskap, insuran, pengurusan harta dan memiliki ladang mereka sendiri.

“Pegawai dan kakitangan syarikat dan agensi menikmati pelbagai keistimewaan dan dibayar faedah dan gaji tetap bulanan yang tinggi. Siap dengan bonus lagi! Tetapi bagaimana dengan penoreh? Menoreh hari ini, esok lusa belum tentu dapat makan!” terangnya.

Beliau mendedahkan Cukai Ses tersebut pada tahun 2013 telah memberikan pendapatan lebih RM100 juta yang hanya mengkayakan puluhan syarikat dan Ahli Lembaga Pengarah serta pegawai-pegawai di agensi berkaitan, tetapi penoreh tidak memperolehi pendapatan untuk memenuhi perbelanjaan harian.

Begitu juga bantuan tanaman semula dari potongan Cukai Ses ke atas pekebun membolehkan agensi berkaitan mendapat secara kasar RM12,000 tetapi dibayar kepada pekebun kurang dari RM10,000.

“Wajarkah ini dipanggil bantuan? Jadi cadangan penetapan harga lantai RM4.00 relevan kerana selepas ditolak kos pengeluaran RM3.20 bagi setiap kilogram, penoreh hanya dapat RM0.80.

“Tuntutan yang perlu diberi perhatian termasuk adalah menerusi penstabilan Free On Board (FOB) pada kadar RM10.00 bagi setiap kilogram, bagi membolehkan harga ladang berada pada kadar RM4.00 bagi setiap kilogram.

“FOB bermaksud, harga yang dikemukakan hanyalah sehingga pelabuhan atau gudang di negara yang kita ingin import barangan itu. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi perlu main peranan dalam perkara ini,” ujarnya mengajukan penyelesaian.

 
Coretan Minda Terkini