Get a free hosting or choose from the Best Web Hosting service

Jom beramai-ramai Himpunan Derita Rakyat: Baling 2.0

DERITA rakyat dari ‘tragedi’ kemiskinan dan kesempitan hidup yang mencetuskan Demonstrasi Baling 1974 hakikatnya tidak pernah berakhir. Selama tempoh 40 tahun berlalu ini derita itu tidak hanya mengkhusus di daerah-daerah terpencil atau luar bandar, tetapi mula dirasai segenap lapisan rakyat. IZWAN ABDUL HALIM menemubual Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato’ Mahfuz Omar berbicara mengenai Himpunan Derita Rakyat yang juga dikenali sebagai Baling 2.0 sebagai mengingati nostalgia 40 tahun sejarah itu.

Harakah: Selepas 40 tahun, Demonstrasi Baling ini diingati semula sebagai nostalgia menerusi Himpunan Derita Rakyat yang akan diadakan 5 April depan di Baling. Apa signifikan himpunan kali ini?

DATO’ MAHFUZ OMAR: Sebenarnya ada pertalian, Demonstrasi Baling yang berlaku 40 tahun dahulu di mana masa itu menyentuh soal masyarakat miskin dan tersepit dengan kelaparan. Ketika itu kawasan Baling itu merupakan kawasan kecil luar bandar yang rata-rata penduduknya penoreh getah hidup dalam kemiskinan. Jadi selepas 40 tahun, kita lihat keadaan kehidupan masyarakat masih sama cuma kos hidup berbeza. Isunya ialah masyarakat tertekan dengan peningkatan kos sara hidup yang tidak seimbang dengan pendapatan walaupun pendapatan dahulu dan sekarang sudah berbeza. Tapi tidak ada perubahan dari segi kemiskinan, kelaparan, kos sara hidup tidak seimbang dengan pendapatan.

Bermakna himpunan kali ini bukan sekadar nostalgia, tetapi unjuk rasa dari kemelut kos sara hidup yang terus menghimpit warga Malaysia. Apakah sebenarnya kerajaan gagal menangani penyelesaian perkara ini?

Bagi saya selepas 40 tahun, Kerajaan BN gagal untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, gagal untuk meningkat pendapatan rakyat, gagal menstabilkan taraf ekonomi rakyat. Perkara yang berlaku, dari masa ke semasa, pendapatan boleh gunanya semakin mengecil. Maksudnya pendapatan tidak meningkat, tetapi perbelanjaannya semakin meningkat.

Maksud Dato’ selama 40 tahun ini tidak pernah berubah? Jadi apakah yang kerajaan buat selama ini?

Ya, tidak pernah berubah! Walaupun persekitaran telah berubah, keadaan hidup berubah dan pekerjaan berubah, tetapi kos sara hidup berbanding pendapatan tidak membantu menangani perubahan itu. Selama 40 tahun ini saya lihat kerajaan lebih menumpu soal pembangunan infrastruktur tapi tidak menjurus kepada menambah pendapatan rakyat dan mengurangkan beban hidup. Walaupun taraf pendidikan juga berubah di mana 40 tahun dahulu mungkin lemah berbanding sekarang, sepatutnya dengan taraf pendidikan telah meningkat, taraf hidup menjadi semakin baik berbanding dahulu. Tetapi hari ini dengan masyarakat yang taraf pendidikan semakin baik, taraf hidupnya sama seperti orang tidak terdidik 40 tahun dulu.

Adakah Dato’ yakin rakyat akan memberikan sambutan terhadap himpunan ini untuk memberi mesej rasa tidak puas hati mereka?

Saya jangka masyarakat akan beri sambutan kerana ini menyentuh setiap rakyat yang bukan sahaja terbeban dengan kos hidup semakin tinggi, bukan soal pekebun kecil atau getah, tetapi setiap lapisan pengguna sama ada makan gaji di sektor awam mahupun swasta, semua kini berhadapan masalah sama. Hutang semasa rakyat semakin bertambah, hutang kereta, rumah menyebabkan kemampuan berbelanja menjadi semakin kecil. Sebab itu menjadi harapan kita setiap lapisan masyarakat dari pelbagai latarbelakang untuk hadir ke himpunan bersejarah selepas daripada 40 tahun iaitu himpunan dari kegagalan kerajaan dalam membangunkan masyarakat Malaysia.

Jika dilihat kesan dari Demonstrasi Baling 1974, para demonstran kemudian ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Bagaimana sekiranya pihak kerajaan menggunakan gertakan atau halangan seumpama kepada himpunan kali ini?

Saya percaya kerajaan akan gunakan kaedah tangkapan untuk menakutkan rakyat sepertimana dalam Himpunan Bersih dan himpunan-himpunan seperti itu. Tetapi kita tengok, tangkapan tidak menghalang rakyat untuk terus berhimpun, ia tidak memampu menyekat kebanjiran rakyat menuntut haknya, sepertimana dulu kita adakan himpunan untuk menuntut pilihan raya bersih dengan jumlah tangkapan ramai. Walaupun tangkapan bukan untuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tetapi tangkapan tidak menghalang rakyat untuk terus keluar berhimpun. Macam itu juga dalam situasi ini, tangkapan akan menyebabkan rakyat melihat ia sebagai satu pengorbanan sebagaimana 40 tahun dulu menjadi mangsa kerajaan, tetapi berjaya memberi kesedaran kepada masyarakat.

Pada Dato’, apakah impak selepas himpunan ini nanti?

Saya melihat kerajaan akan berusaha untuk menangani isu kos sara hidup rakyat ini secara lebih praktikal. Hari ini dia buat sesuatu yang tidak memberi ‘sentuhan’ dalam meringankan beban sara hidup rakyat. Kerajaan sekadar menyelesaikan masalah kenaikan harga barang ini khususnya pada tindakan peniaga tidak letak tanda harga, itu saja. Tidak menyelesaikan kepada usaha menurunkan harga barang. Persoalannya kenaikan harga barang berpunca dari kenaikan kos utama seperti kenaikan tarif elektrik dan kos petrol atau diesel. Ini penyebab asas kenaikan harga barang yang menyeluruh. Harga komoditi seperti getah termasuk harga padi yang masih rendah dan gagal dipenuhi tuntutan mereka oleh kerajaan, jadi kemampuan mereka berbelanja semakin kurang. Jadi bagi saya, impak itu menyedarkan kerajaan bahawa tindakan yang dilakukannya itu tidak boleh diteruskan, mereka perlu menangani secara praktikal sebagaimana tuntutan rakyat. Rakyat pula akan melihat secara lebih menyeluruh dan menuntut polisi-polisi negara mesti berubah bukan sahaja pada ekonomi, tetapi juga polisi pentadbiran dan politik agar berlaku jaminan sara hidup rakyat benar-benar terbela. Impaknya besar itu akan dilihat pada PRU14 nanti.

Setakat mana usaha telah digembleng untuk himpunan ini dan seruan Dato’ kepada rakyat Malaysia?

Kita gembleng menerusi program penerangan khususnya di seluruh negeri Kedah dan tetapi kita tidak melihat isu ini hanya negeri Kedah. Kita perjuangkan isu permasalahan ini sama macam dulu, bahawa ini isu nasional. Dulu di bawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim melalui gerakan mahasiswa itu menjadi isu nasional, isu kemiskinan rakyat yang tempat pilihannya di Baling dan 40 tahun kemudian iaitu pada 5 April ini, masih dengan isu sama iaitu kemiskinan dan penderitaan rakyat. Saya harap generasi muda sepertimana 40 tahun dahulu iaitu Generasi Y ini akan tampil dengan satu gelombang lebih besar. Sebab itu saya menyeru semua orang khususnya generasi muda untuk mengambil bahagian pada himpunan yang akan kita adakan ini. Kalau generasi muda 40 tahun dahulu mencipta sejarah, generasi muda hari ini termasuk mahasiswa dan pelajar, akan mencipta pula sejarah untuk 40 tahun kedua. Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Anuar Tahir, Syed Hussein Ali dan ramai lagi telah mencipta 40 tahun dahulu dengan mereka membawa satu gelombang cukup hebat dan kemudian kita hendak mengulangi untuk 40 tahun seterusnya. Mereka telah berjaya bawa gelombang kebangkitan rakyat itu dalam tempoh 40 tahun itu rakyat semakin sedar, suntikan kepada rakyat dari segi ketajaman fikiran politik semakin meningkat. Jadi Generasi Y hari ini perlu mencipta sejarah kepada perubahan ini. Kita harap kehadiran dari seluruh negara dengan setiap kawasan PAS menghantar satu bas.

 

 

Terakhir Dikemaskini (Ahad, 30 Mac 2014 14:30)

 
Coretan Minda Terkini