Get a free hosting or choose from the Best Web Hosting service

Deklarasi Baling 2014

Empat puluh tahun lalu, bumi Baling telah memahat sejarah membuka tentang keperitan derita rakyat, sengsara dihiris kemiskinan.

Selepas empat dekad berlalu, tatkala kerajaan gah melaungkan slogan-slogan kejayaan, berbangga tentang pantasnya kemajuan dan pesatnya pembangunan, rakyat sebenarnya kian terhimpit dan tertekan.

Derita rakyat makin parah dengan lonjakan kos sara hidup, peningkatan memuncak harga keperluan asas, bebanan kenaikan tarif elektrik dan bekalan air, saban tahun semakin berat.

Tidak memadai dengan pengurangan subsidi, rampasan royalti, kenaikan kos insuran, pengangkutan, perubatan dan pendidikan tinggi, rakyat dipaksa berkorban lagi dengan kemunculan GST.

Semua ini menambah sengsara, khususnya golongan penoreh dan pekebun kecil getah yang sedang terjerumus dalam kesukaran tiada kesudahan, akibat pendapatan tidak lagi menampung kos kehidupan harian.

Kesejahteraan rakyat merosot apabila harga komoditi getah di ladang terus menjunam. Jurang pendapatan makin melebar antara penoreh dan pekebun kecil dengan pengilang, pemborong dan syarikat-syarikat milik agensi yang bertanggung jawab mengurus sektor ini.

 

 

Tiada jaminan, tanpa rancangan pembelaan, manipulasi berleluasa, agensi dan syarikat menjadi super kaya, penoreh getah terus menerus sengsara.

Maka, Himpunan Derita Rakyat (Baling 2.0) pada tanggal 5 April 2014 di Kupang, Baling, kedah darul Aman menegaskan bahawa:

  1. Pembangunan negara tidak lagi berteraskan kenaikan kos sara hidup yang dipaksakan ke atas rakyat. Sebaliknya wajib berasaskan pemimpin yang amanah, pengurusan bebas rasuah, peningkatan integriti, kecekapan agensi serta anti kebocoran dan keborosan.
  2. Penetapan harga lantai komoditi getah di ladang pada kadar RM4 sekilogram harus dilaksanakan segera. Kadar ini wajar dan berpatutan berbanding kos pengeluaran yang ditanggung oleh penoreh/pekebun kecil adalah sebanyak RM3.20 sekilogram.
  3. Kos pengilangan getah tidak lagi ditanggung oleh pekebun kecil, sebaliknya ditentukan dengan campur tangan kerajaan melalui pengawasan dan penguatkuasaan undang-undang. Kadar maksima caj pengilang sewajarnya tidak melebihi RM1 sekilogram, dikongsi bersama oleh pengilang dan pengeluar.
  4. Dried Rubber Content (DRC) harus ditentukan secara saintifik. Lembaga Getah Malaysia (LGM) wajib menguatkuasakan penggunaan tolok penyukat DRC untuk mengelak manipulasi harga akibat penentuan kadar DRC berdasarkan andaian oleh peraih dan pengilang.
  5. Pemotongan cukai ses yang mengakibatkan pekebun kehilangan sebahagian pendapatan mereka wajar dihentikan. Kos penyelidikan dan tanaman semula getah tidak boleh dibebankan kepada pekebun kecil, sebaliknya dana untuk tujuan ini diperuntukkan daripada sumber lain.
  6. Bantuan tanaman semula getah diberikan sebagai subsidi seperti yang dinikmati oleh pesawah dan nelayan. Malahan subsidi telah lama dinikmati oleh banyak sektor lain termasuk sektor industri tenaga.
  7. Selaras dengan kepentingan industri berasaskan komoditi getah dan sumbangan besar sektor ini kepada pembangunan rakyat dan negara Malaysia, kerajaan wajar memberikan subsidi baja selama 25 tahun kepada semua pekebun kecil bagi memastikan produktiviti pokok getah dapat dikekalkan selama ia dapat memberi pulangan kepada pekebun kecil.
  8. Mekanisme penentuan harga SMR20 tidak lagi hanya bergantung kepada tawaran harga pengilang-pengilang yang menganggotai Panel Penasihat harga LGM, tetapi harus mengambilkira kos dan kesan yang ditanggung oleh penoreh dan pekebun kecil.

 

Dimeterai bersama oleh gabungan 32 parti politik dan Badan Bukan Kerajaan (NGO)

 
Coretan Minda Terkini