Get a free hosting or choose from the Best Web Hosting service

Derita panjang penoreh yang belum berakhir

BALING: Derita sebagaimana diterjemahkan oleh rakyat menerusi Demonstrasi Baling 1974 sebenarnya tidak pernah berakhir sebaliknya ia merata kepada semua rakyat negara ini dari kampung hingga ke bandar-bandar, demikian menurut Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Mahfuz Omar.

“Pada 40 tahun lalu Baling telah melakar sejarah kebangkitan rakyat untuk membebaskan diri keluar dari kemiskinan, tetapi selepas 40 tahun, kemiskinan masih tetap kekal, tidak hanya di Baling atau di kampung, tetapi telah merata di seluruh negara termasuk di bandar-bandar,”  keluhnya pada Himpunan Derita Rakyat (Baling 2.0) di Padang Awam Keda, Kupang di sini 5 April lalu.

Ujarnya, hari ini rakyat masih menanggung akibat dari peningkatan kos sara hidup yang tidak mampu dibiayai lagi.

Pada pidato penuh emosi itu, Mahfuz mengimbau detik  40 tahun dulu di mana dengan harga getah cuma 25 sen sekilogram, para penoreh tetap gigih berusaha untuk menanggung anak yang ramai hingga berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Tetapi katanya, anak-anak pada hari ini pula terbeban dengan kos sara hidup hingga mereka juga tidak mampu menanggung ibu ayah dari kalangan penoreh yang sekali lagi mengalami pusingan penurunan harga getah.

 

 

“Sepatutnya selepas 40 tahun, kerajaan sudah boleh memperbaiki taraf hidup rakyat terutama dari kalangan penoreh getah tetapi masih mengulangi nasib sama,” kesalnya yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat.

Pada pidatonya itu, beliau turut membandingkan derita para penoreh getah dengan limpahan projek kerajaan yang diberikan kepada korporat terkemuka, Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary.

Menurutnya, Syed Mokhtar kini terpaksa menutup Universiti Antarabangsa Al-Bukhary miliknya atas ketidakmampuan untuk terus membiayai institusi pendidikan tersebut.

Terjah Mahfuz, jika tokoh korporat tersebut yang banyak mendapat projek besar dari kerajaan hingga membawa untung berbilion ringgit pun masih merasai keperitan, tentunya para penoreh tanpa sebarang projek diperolehi dari kerajaan lebih teruk menanggung derita.

Katanya, kerajaan hanya menjaga kepentingan pihak tertentu di mana jika pada ketika ini rakyat sudah cukup merana, tetapi setelah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diluluskan Dewan Rakyat, tentunya rakyat akan terus menanggung sengsara.

Terdahulu, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat dalam pidatonya berkata, pendapatan bulanan penoreh getah kini kurang dari RM200.

Menurutnya, penoreh getah adalah mangsa lantaran ketidakpedulian kerajaan untuk menetapkan harga getah, sebaliknya ia dimonopoli dan dimanipulasi oleh 11 syarikat berkaitan di mana lapan darinya memberikan harga terlalu murah kepada penoreh.

Syarikat itu pula katanya, sama ada harga getah naik mahupun turun, mereka tetap dalam margin keuntungan dan penoreh juga terpaksa membayar kos kilang.

Ujar beliau, walaupun dalam keadaan dihimpit kesusahan itu, setiap penoreh getah tetap perlu ‘melabur’ sebanyak 14 sen untuk dibayar kepada kepada agensi kerajaan iaitulah 4 sen untuk penyelidikan dan 10 sen untuk tanaman semula.

Terang Suhaizan, pada ketika ini kos bagi menghasilkan sekilogram getah adalah RM2.80, tetapi hasil diperolehi hanya RM2.40 sekaligus penoreh menanggung beban sebanyak 40 sen dari getah sekerap yang dijual.

 
Coretan Minda Terkini