Get a free hosting or choose from the Best Web Hosting service

Penguatkuasaan aqidah jangan pilih bulu

ALOR SETAR: Dewan Ulama PAS Negeri Kedah menggesa pihak berkuasa agama menangani isu fahaman dan amalan yang bertentangan dengan Islam secara menyeluruh dengan tidak menghadkan penguatkuasaan dan pendakwaan secara terpilih.

Setiausahanya, Ustaz Ahmad Yahaya berkata, ketegasan pihak berkuasa agama di negara ini penting untuk memastikan pihak-pihak terbabit tidak sewenangnya terus berpegang, menyebar dan melakukan amalan yang bercanggah dengan agama.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada isu Dr Kassim Ahmad yang dihadapkan pertuduhan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan setelah pihak berkuasa menahan tokoh anti hadis itu di rumahnya di Kulim pada 26 Mac baru-baru ini.

 

 

Menurutnya, selaras dengan pertuduhan itu, tindakan juga wajib diambil ke atas Yayasan Kepimpinan Perdana yang merupakan penganjur Seminar Pemikiran Kassim Ahmad bulan lalu.

“Jangan ada tindakan dan dakwaan terpilih. Apabila ‘orang besar negara’ melakukan kesalahan seumpama, mereka dibiarkan. Pihak berkuasa agama mesti tegas dan tidak membiarkan sesiapapun mengatasi undang-undang.

“Begitu juga amalan khurafat bomoh dalam pencarian kapal terbang MH370 yang semakin menjadi-jadi walaupun telah ditegur perbuatan tersebut. Malah, pihak yang memberi keizinan dan melibatkan mereka hingga ke KLIA juga mesti dihadapkan pertuduhan sama di Mahkamah Syariah,” ujar beliau.

Katanya, pihak berkuasa agama juga perlu mengisytiharkan status seminar tersebut kepengetahuan awam termasuk mempertegaskan semula fatwa bersangkutan pihak terbabit.

Jelas Ustaz Ahmad, tindakan proaktif pihak berkuasa agama dalam hal itu perlu agar ia tidak terus berulang dan berkembang dalam masyarakat.

 
Coretan Minda Terkini