Get a free hosting or choose from the Best Web Hosting service

Kem pembinaan insan soleh tetap diteruskan walaupun tanpa kerajaan

KEDATANGAN era milenium menyaksikan negara ini digugat dengan kebejatan akhlak generasi pelapis yang sangat mencemaskan. Pelbagai gejala membarah di kalangan anak muda remaja seperti hiburan melampau, merempit, bohsia bohjan, penagihan dadah, pergaulan bebas, penzinaan, pembuangan anak dan seumpamanya.

Di bawah kepimpinan Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak selaku Pesuruhjaya PAS Negeri ketika itu, beliau menggerakkan peranan proaktif menganjurkan kem-kem pembangunan insan musim cuti sekolah bermula tahun 2004 sebagai usaha merubah suasana itu.

Begitu juga setelah beliau menjadi Menteri Besar, penganjurannya melalui Kerajaan Negeri Kedah diperluaskan ke daerah-daerah dalam skala dan peruntukan tahunan yang lebih besar hingga berjaya melibatkan tidak kurang 5,000 peserta pada setiap musim.

Menempuh perjalanan selama 10 tahun itu, PAS Kedah telah menghadirkan pengalaman berharga dalam usaha pembangunan insan. Kem Anak Soleh, Kem Bina Insan, Kem Bina Sahsiah dan Akademi Pembangunan Belia telah menjadi universiti pembangunan insan yang menjadi rujukan dan kajian banyak pihak.

Sebejat manapun latarbelakang masalah dihadapi peserta, dari prinsip dan model dibangunkan PAS Kedah ini, setiap peserta yang mendaftar diterima seumpama kain putih.

Peserta dicorakkan dengan modul-modul bersepadu merangkumi pembentukan iman, mental, emosi dan jasmani melibatkan kuliah dan pengisian yang membentuk peribadi muslim dan pembinaan jatidiri. Seterusnya disusuli dengan latihan amali dan penekanan disiplin, selain pendedahan cabaran di lapangan serta muhasabah di bawah seliaan fasilitator terlatih. Penganjurannya juga diadakan dengan mengenakan yuran pendaftaran paling minimum.

Malah, pihak sekretariat pengendali menyediakan konsultasi walaupun selepas program berakhir, sekaligus mewujudkan hubungan berterusan antara penganjur dengan peserta dan ibu bapa. Inilah perbezaan kem-kem pembangunan insan anjuran PAS Kedah berbanding kem lain yang seumpamanya.

Lebih berharga, pengalaman peserta pada semua kem ini menyuntik imuniti dan kecenderungan untuknya terus bersama dalam siri kem berikutnya, hingga hasrat membentuk individu muslim seperti yang diimpikan benar-benar menghampiri matlamat.

Menjelang cuti persekolahan yang bakal menjengah pada minggu hadapan, PAS Kedah mengembalikan penganjuran Kem Anak Soleh pada 27 hingga 29 Mei ini di tujuh daerah untuk peserta berumur 10 hingga 12 tahun dengan yuran cuma RM55 sahaja. Manakala Kem Bina Insan dan Kem Bina Sahsiah akan diadakan pada cuti sekolah seterusnya.

Ibu bapa dipelawa mendaftarkan anak-anak mereka dengan menghubungi pihak sekretariat di talian 017-5514409.

 
Coretan Minda Terkini