Get a free hosting or choose from the Best Web Hosting service

PAS rakam ucapan takziah atas kemangkatan Tunku Bendahara

 

ALOR SETAR - Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah ingin merakamkan ucapan takziah di atas kemangkatan Tunku Bendahara Kedah yang juga merupakan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Yang Teramat Mulia Tunku Annuar Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

“Ucapan takziah khusus kami zahirkan kepada ke bawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong yang telah kehilangan adinda tercinta. Ahli-ahli PAS berkongsi kedukaan dengan kaum kerabat dan keluarga Almarhum,” ujar Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Mahfuz Omar.

Menurut Mahfuz, pemergian Almarhum Tunku Annuar adalah berita yang sangat mengejutkan seluruh rakyat jelata.

“Lebih-lebih lagi bagi kami, kepimpinan dan ahli-ahli PAS Kedah yang merasai sentuhan jasa bakti baginda sewaktu menaungi kerajaan negeri Kedah di bawah pimpinan Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak dahulu.

“Baginda sangat mengambil berat setiap pelaksanaan program anjuran kerajaan negeri dan pro aktif dalam memberi cadangan membina,” ujarnya.

PAS menyifatkan Almarhum Tunku Annuar adalah pemimpin yang sangat istimewa di mata dan hati rakyat. Pemergian beliau adalah kehilangan besar kepada negeri Kedah.

Sehubungan itu Perhubungan PAS Kedah akan mengadakan satu majlis tahlil khas untuk Almarhum pada 23 Mei 2014, selepas solat Maghrib di Madrasah Islahiah Diniah, Memali, Baling.

 

 

 
Coretan Minda Terkini