Get a free hosting or choose from the Best Web Hosting service

KENYATAAN MEDIA BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI KEDAH

KENYATAAN MEDIA
BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI KEDAH
13 Ramadhan 1436 | 30 Jun 2015

“Berdaya PAS Memegang Al-Quran, Jatuh Umno Menolak Al-Quran”

 1. PAS Negeri Kedah akan mengadakan Sambutan Nuzul al-Quran 1436 Hijrah pada Khamis, 2 Julai di Padang Awam Taman Ria Mesra 1, Gurun. Ia bukan semata-mata majlis, tetapi adalah isyarat dan ikrar bahawa kami anggota PAS erat mengikat diri kepada wahyu Allah SWT serta bersama saf ulama yang menjadi waris para Rasul AS.

2. Al-Quran merupakan dustur yakni perlembagaan yang menjadi pegangan PAS sebagai parti dakwah gerakan Islam dalam memandu kehidupan harian serta pelaksanaan tugas menegakkan agama dan kekhalifahan menerusi bimbingan para ulama. PAS beriman kepada al-Quran dan berjuang untuk menyempurnakan setiap kalimat Allah SWT ini sebagai dasar yang lestari di sepanjang zaman dengan menunaikan segala perintah serta menjauhi larangan yang terkandung di dalamnya.

3. PAS yakin, hanya pedoman teguh kepada al-Quran akan menjamin kelangsungan utuh parti untuk terus kekal relevan, serta istiqamah menghadapi pancaroba dan mehnah pasang surut perjuangan di medan makhluk sepertimana telah dijanjikan pemeliharaannya oleh Allah SWT. Berbeza dari perjuangan selain Islam yang tidak meletakkan al-Quran menjadi tunjang pergerakannya, serta bergerak semata-mata meraih populariti untuk kepentingan haloba manusia, ia pasti runtuh dan lenyap sebagaimana jatuhnya idealogi kuasa besar dunia seperti komunisme, sosialisme dan kapitalisme.

4. Hari ini Umno yang berpaksikan perjuangan kebangsaan dengan dasar sekular memisahkan agama dari kehidupan dan pemerintahan serta mengekalkan perlembagaan Load Reid warisan penjajah juga sedang menghitung detik keruntuhan sama. Setelah PAS Negeri Kedah pada penggal lalu cuba memancarkan cahaya dan roh al-Quran dalam pentadbiran negeri ini demi kesejahteraan rakyatnya di dunia dan akhirat, Umno-BN sekadar datang memperalatkan imej Islamik sebagai kosmetik mencari undi sokongan.

5. Di bawah teraju ulamak yakni Almarhum Tan Sri Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak, beliau telah menerapkan al-Quran. Pentadbiran amanah, tanpa rasuah, berjimat cermat dan mengikut keutamaan adalah ajaran al-Quran. Mengutamakan kepentingan rakyat, memenuhi keperluan awam, memudahkan peluang perekonomian, mewujudkan keamanan dan pembangunan sosial yang sejahtera, adalah dari al-Quran. Menyantuni golongan fakir dan miskin, kurang upaya dan tua serta anak yatim, juga dari al-Quran. Membangunkan akhlak, mencegah kemungkaran dan membina masa depan menjangkau akhirat, termasuk saranan al-Quran.

6. Tetapi segalanya kembali haru biru di bawah pemerintahan Dato’ Seri Mukhriz Tun Mahathir yang diawalnya telah mungundurkan KUIN ke belakang dengan memindah kembali pelajar ke Mergong serta wujud usaha untuk menjual Kampus Tetap Kolej Universiti Insaniah di Kuala Ketil, membatalkan pembinaan Maahad Tahfiz Sains Darul Aman di Pulau Tuba, menyerahkan rangkaian Maktab Mahmud kepada Kerajaan Persekutuan menjadi SABK atas alasan bebanan, menghentikan pemberian kafalah, membiayai program hiburan yang menyebabkan pembaziran, mungkar dan sosial. Sebaliknya mencetuskan pelbagai pembangunan mega yang sehingga hari ini sekadar menjadi janji manis dan tidak menampakkan hasilnya.

7. Seluruh ahli dan penyokong PAS serta masyarakat awam diseru hadir beramai-ramai menunaikan solat tarawikh dan munajat serta mendengar ceramah pada majlis bersama al-Quran dan ulama ini nanti.

8. Mudah-mudahan himpunan itu nanti termasuk sebahagian hasrat, azam dan ikrar kita kepada Allah supaya ditunjuki dijalan lurus bersama golongan diberi nikmat oleh-Nya, serta dijauhi dari golongan sesat lagi dimurkai-Nya, sebagaimana permohonan dari lafaz ibu al-Quran yang kita bacakan sekurang-kurangnya 17 kali setiap hari.

DR AHMAD FAKHRUDIN SYEIKH FAKRURAZI
Pesuruhjaya
PAS Negeri Kedah

Terakhir Dikemaskini (Rabu, 01 Julai 2015 22:29)

 
Coretan Minda Terkini